Sharing Is Caring: Mengapa Saya Kembali Kepada Bahan Api RON97…

Benarkah bahan api RON95 lebih jimat berbanding bahan api RON97? Berikutan andaian ini, saya telah melakukan satu apa yang boleh saya andaikan sebagai kajian mini untuk membuktikan sama RON95 lebih menjimatkan memandangkan ramai orang telah beralih daripada bahan api RON97 kepada bahan api RON95.

Semenjak Kerajaan memperkenalkan bahan api RON95, saya telah beralih kepada bahan api RON95 disebabkan harga bahan api RON97 yang melambung naik secara mendadak berikutan penarikan subsidi terhadap bahan api berkenaan. Harga yang begitu menyebabkan orang ramai tidak mempunyai pilihan selain beralih kepada bahan api RON95 yang jauh lebih murah. Jika tidak silap saya, harga bagi bahan api RON95 semasa baru diperkenalkan adalah RM1.80/liter, sementara bagi bahan api RON97 adalah RM1.90/liter.

Bagaimanapun, dengan pengumuman kenaikan bahan api baru-baru ini, harga baru bagi bahan api RON95 kini pada RM1.90/liter. Dengan harga baru ini, saya berbelanja sebanyak RM47.50 untuk setiap isian penuh iaitu kira-kira 25 liter.

Memang tidak dinafikan iklan banyak mempengaruhi manusia dalam proses pembuatan keputusan. Bagaimana saya boleh beralih semula kepada bahan api RON97, meskipun sebelum ini telah dibiasakan dengan bahan api RON95 adalah disebabkan oleh pengaruh iklan. Kehebatan kuasa iklan Shell V Power yang seringkali mengganggu ketika menonton rancangan kegemaran dimainkan di televisyen telah menimbulkan keinginan saya untuk mencuba atas andaian bahawa apabila menggunakan bahan api ini kenderaan akan bergerak pantas.

Lalu, pada suatu hari ketika hendak ke Kudat, meter penunjuk bahan api berada di bawah aras E dan kali ini saya mengisi minyak menggunakan bahan api Shell V Power RON97 dengan bayaran RM57.50 untuk 25 liter isian penuh.

Untuk pengetahuan, jenis kenderaan yang saya gunakan adalah Perodua Kancil berkeupayaan 850cc (Manual) yang belum diubahsuai. Jarak diantara Bandaraya Kota Kinabalu ke Kudat adalah sejauh 199KM dengan kelajuan pemanduan 90KM-110KM/j.

Selepas lebih 2 jam pemanduan, setibanya di pekan Kudat, secara perbandingannya, saya dapati Shell V Power RON97 benar-benar ‘berkuasa’, respon kereta agak baik, bunyi enjin lebih senyap dan yang lebih penting menjimatkan. Penunjuk aras bahan api berada di garisan suku ke tiga yang bermaksud masih terdapat 75 peratus baki bahan api di dalam tangki kenderaan. Jika benar 25 peratus bahan api telah digunakan, ini bermaksud saya telah menggunakan sebanyak 6.25 liter.

Sebelum ini, perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kudat menggunakan bahan api RON95 biasanya akan membakar lebih kurang 50 peratus daripada jumlah bahan api di dalam tangki. Penunjuk aras bahan api berada benar-benar di bahagian tengah dan saya mengandaikan penggunaan bahan api adalah sebanyak RM23.75 bagi 12.5 liter bahan api yang digunakan.

Daripada perjalanan ini, dapat dilihat kos perbelanjaan penggunaan bahan api RON97 jauh lebih murah iaitu kira-kira sebanyak RM14.38 dan angka ini jauh lebih murah jika dibandingkan dengan penggunaan bahan api RON95, iaitu RM23.75.

Kesimpulannya, Meskipun harga bahan api RON95 jauh lebih rendah berbanding bahan api RON97, penggunaan bahan api RON97 adalah lebih menjimatkan. Malahan semenjak beralih kepada bahan api RON97, kenderaan saya tidak lagi mengalami masalah di bahagian sistem karburator.

JIKA BAHAN API RON97 JAUH LEBIH BAIK, WAJARKAH SUBSIDI KE ATAS BAHAN API RON95 DITERUSKAN…

Dalam pada itu, sebagai rakyat tergolong dalam golongan berpendapatan rendah, kenaikan harga bahan api ini memanglah amat dirasai. Bahan api mempunyai hubungan rapat ke atas barangan lain. Sebarang perubahan harga ke atas barangan ini akan mencetuskan impak berantai ke atas harga barangan lain.

''Bila minyak naik, harga barang-barang turut naik, hidup semakin susah.. memang rakyat dahulu merasanya..''. Saya bersetuju dengan kenyataan ini, dan, ini amatlah menyedihkan tetapi memang inilah kenyataannya sehingga ianya menjadi sindiran sinis terhadap slogan '1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak.

Bagi mereka yang terarah oleh pemikiran-pemikiran tertentu, mungkin ini menjadi penjelasan singkat terhadap isi tersirat yang terkandung dalam intipati slogan ini. Bagaimanapun, bagi saya, memandangkan kata-kata yang menjadi slogan ini keluar daripada mulut Perdana Menteri, saya melihat ini sebagai suatu yang positif, janji kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri yang baru kepada rakyat secara keseluruhannya kerana banyak perubahan telah dilakukan khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak. Saya percaya bahawa ini adalah suatu permulaan yang baik.

Saya sedari, kenaikan harga ini adalah fenomena sejagat yang mana turut dirasai semua pihak. Salah satu usaha yang dilakukan Kerajaan bagi mengekang kenaikan harga bahan ini adalah menerusi bantuan subsidi.

Mana-mana kerajaan di dunia yang terus menggunakan subsidi sebagai strategi untuk mengekalkan harga pada suatu tahap tidak akan mampu bertahan lama kerana usaha seperti ini adalah satu strategi bersifat jangka pendek. Subsidi tidak akan mampu menstabilkan harga bahan api yang sering berubah-ubah di pasaran dunia, sebaliknya usaha untuk menyerap perubahan margin harga hanya menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos peningkatan perbelanjaan sehingga berbilion ringgit.

Sementara itu, bagi merangka strategi jangka panjang, apa yang dilakukan Kerajaan sekarang ini menerusi pelbagai program yang antaranya lainnya program peningkatan pendapatan di bawah polisi Model Ekonomi Baru adalah lebih pratikal bagi menangani masalah akibat kenaikan harga bahan api ini seperti yang sedang diusahakan kerajaan sekarang ini.

Bagaimanapun, dengan tahap pendapatan yang ada sekarang, inisiatif lain haruslah difikirkan untuk membantu meringankan beban rakyat berpendapatan rendah. Subsidi ke atas bahan api RON95 pada harga pam yang dilakukan sekarang ini perlu diperhalusi lagi agar rakyat benar-benar menerima manfaat daripada bantuan ini. Mekanisma lain haruslah difikirkan bagi menyalurkan bantuan subsidi kepada rakyat agar rakyat mampu menikmati bahan api RON97 yang jauh lebih berkualiti dan menjimatkan.

Sumber: Francis Au
Load disqus comments

0 ulasan