(Profile) Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara Hina Islam?

Blog Hina Islam, Perkasa tampil lapor polis
(Free Malaysia Today)

PETALING JAYA: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) akan membuat laporan polis berhubung satu entri blog yang didakwa menghina agama Islam dengan memaparkan gambar seekor jerung di atas Kaabah selain menggunakan kata-kata yang menghina agama tersebut.

Entri blog itu dikesan pada Isnin lalu dengan menggunakan nama Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara atau http://makcikhajjahsittalwuzara99.wordpress.com.

Malah sebuah akaun laman sosial Facebook turut dikesan menggunakan profil ‘Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara’.

Ketika dihubungi FMT, Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi berkata laporan akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi (IPD), Kuala Lumpur jam 3.30 petang ini. Laporan polis itu dijangka telah dibuat apabila berita ini ditulis.

Menurut Irwan, beliau dan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali telah membaca entri blog terbabit dan menyifatkan ia satu tindakan yang tidak bermoral dengan menghina Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

Irwan berkata laporan itu untuk mendesak pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat lebih lanjut dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik atau jurublog tersebut.

“Ia satu penghinaan yang sangat kurang ajar dan melampau batasan. Saya minta orang yang bertanggungjawab hormati agama Islam.Maka kami mahu desak pihak polis untuk membuat siasatan lanjut. Kalau boleh letak orang yang terbabit dalam ISA…..kerana tiada toleransi bila membabitkan hal agama.

“Kita perlu tegas kerana ia soal agama. Bagaimana jika perkara ini berlaku kepada agama lain?,” soalnya.

Irwan berkata selain entri blog itu, Perkasa turut membuat laporan berhubung tindakan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong yang memprotes ekoran dakwaan berlakunya salah urus dalam pengagihan biassiswa oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Masalah biasiswa

Semuanya tercetus apabila timbul dakwaan bahawa 363 pelajar yang memperoleh kesemua A+ gagal memperoleh biasiswa daripada JPA.

Menurut Irwan tindakan memprotes itu tidak wajar memandangkan ia adalah satu keputusan kabinet.

“MCA jangan mahu kaitkan keputusan kabinet dengan nyatakan baru-baru ini bahawa pemuda MCA tidak akan bersama kerajaan lagi. Saya mahu tanya masa pilihan raya umum lalu MCA menang banyakkah? Maka saya minta MCA jangan ganggu apa yang sudah diputuskan biar JPA laksanakan tugas,”katanya.

Sehubungan dengan itu, menurut Irwan Perkasa menyokong penuh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz bahawa kerajaan sedia memberi 12,000 biasiswa untuk membantu pelajar menamatkan ijazah pertama, sekaligus mengetepikan dakwaan Wee itu.
Load disqus comments

2 ulasan