Pages

Novel Lucah Sudah Menjadi Kebiasaan?

Mungkin ramai diantara kita yang terlepas pandang mengenai isu ini, atau mungkin juga masyarakat kita sudah semakin terbuka mengenai perkara-perkara yang berbentuk seperti ini.

Apa pun ada berbagai-bagai pandangan dan saya ingi kongsikan pandangan seorang penulis dari blog Kersani Dan Kasturi mengenai isu ini.

Sejak bila pulak benda tu jadi kebiasaan?
Minggu lepas, 3 hari berturut-turut, jika saya tak silap, dalam ruangan surat pembaca di dalam akhbar Berita Harian, isu kelucahan di dalam novel masa kini menjadi tumpuan. Penulis merasa kesal dengan lambakan novel berunsur lucah di pasaran mutakhir ini.

Pertama, saya tak terkejut. Ini kapitalisme. Dan kapitalisme sudah lama bertapak dalam negara ini. Kapitalisme juga menjadi salah satu sumbangan dalam memajukan industri budaya popular di negara ini. Dengan kebanjiran rancangan berbaur hedonis, filem separa lucah, kemunculan artis-artis seksi, maka saya tak hairan kalau novel berbaur lucah semakin berleluasa.

Pilihan ada di tangan kita. Kalau rasa novel tu lucah, tak payah la beli. Kalau beli jugak, tak tau la nak cakap apa.

Pun begitu mutakhir ini jika dilihat pola 'sastera' di Malaysia, ramai 'penulis-penulis' muda yang muncul terutamanya penulis blog, muncul dengan jiwa 'rebel' dan kononnya menulis atas dasar 'indie' dan menongkah arus. Ada yang menggelarkan diri mereka pelopor 'sastera urban'. Dan banyak blog yang muncul bertunjangkan 'sastera urban' ini menulis dengan tema 'lari dari kebiasaan'. Tulisan mereka kononnya jujur dan dengan tujuan menyatakan kebenaran. Mereka tidak kisah melucah dalam tulisan. Dan kata mereka lagi, itulah seni!

Ya menyatakan kebenaran itu tak salah. Tapi cara yang digunakan untuk meluahkan rasa itu saya tak setuju. Kenapa perlu melucah? Kenapa perlu menggunakan pendekatan begitu untuk sampai kepada pembaca? Kenapa bahagian sulit manusia dijadikan senda gurau? Kenapa kebiadaban yang ekstrem digunakan bagi menarik perhatian? Dan antara rakan-rakan yang saya tanya, kebanyakannya menjawab 'biasa la ni', 'alah normal la ni'. Sejak bila pulak mencarut, membincangkan hal erotis merupakan satu kebiasaan dalam hidup seharian?

Bayangkan di kedai kopi, sebuah meja berbicara begitu. Menyebut k***, p*****, t**** sebebas-bebasnya, nah, normalkah perbualan itu?

Tapi itulah kapitalisme dan budaya popular. Apa yang boleh menjana keuntungan, apa yang digemari, apa yang menjadi trend, apa yang ramai peminat, itulah yang sentiasa disebut-sebut, itulah yang sentiasa dikehendaki, itulah yang sentiasa digemari.

Saya tak bagus. Tapi gemar saya mengingatkan kita ini Islam. Islam tak pernah menyuruh umatnya melucah. Islam tak pernah menggalakkan umatnya biadap. Dan bagi mereka yang menyangka tulisan mereka adalah seni, hei, kau belum cukup faham apa itu seni. Sebagai Islam kau perlu tahu, seni yang paling bagus ialah seni yang mendekatkan manusia kepada Allah. Carilah buku Fine Art In Islamic Civilization. Baca apa yang Al-Ghazali tulis pasal seni. Baru layak bercakap pasal seni. Ya saya pelajar seni. Kebudayaan dan Kesenian Melayu. Islam dalam kesenian dan kebudayaan, kritikan seni serta apresiasi seni merupakan antara subjek yang saya ikuti.

Dan kita baru sahaja lepas meraikan hari keputeraan Baginda Rasulullah. Ramai yang mengaku cintakan Baginda. Kalau benar begitu, contohilah Baginda, secara seluruhnya.

Apa salahnya menulis tanpa ada unsur biadap dan lucah?

Panjang pulak saya membebel. Maka jika orang tanya pasal buku 'sastera urban' apa yang saya pernah baca, saya akan tersenyum saja. Sebelum saya jatuh dalam gaung, baik saya berdiri jauh dari tebing gunung.

Jangan biarkan kelucahan menjadi kebiasaan. Dan jangan meremehkan hal-hal begini, kerana iman selalunya goyah kerana hal-hal remeh. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Be responsible when you make your comments.

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Click ‘Like’ untuk berita pendidikan dan biasiswa terkini. Terima Kasih

?

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets