Queens Park Rangers (QPR) belasah Sabah 5-0

Semalam saya buat pertama kalinya selepas lebih 10 tahun untuk datang menonton perlawanan bola sepak antara Queens Park Rangers (QPR) dan Sabah. Kesudahannya QPR membelasah Sabah 5-0 di Stadium Likas Kota Kinabalu.

Sejak akhir-akhir ini memang saya tidak pernah teringin menonton perlawanan bola yang melibatkan pasukan negeri Sabah. Sebabnya, saya menjadi marah-marah bila melihat mutu permainan yang ditunjukan oleh pasukan negeri. Kehadiran QPR di Stadium Likas semalam berjaya menarik begitu ramai penonton. Stadium Likas 80% di penuhi penonton, situasi yang jarang berlaku sejak zaman Matlan Marjan masih bersama pasukan Sabah dahulu.

Kali terakhir saya menonton bola sepak di Stadium Likas ialah semasa pasukan Sabah masih dianggotai oleh Scott dan Matlan Marjan. Masa itu Stadium Likas selalu dipenuhi penonton.

Berbalik kepada permainan persahabatan antara QPR dan Sabah, kelihatan bahawa gaya/style permainan QPR di England tidak keluar atau tidak berjaya dipaksa keluar oleh pemain-pemain Sabah. Jurang skill, ketahanan mental dan kecergasan fizikal antara QPR dan Sabah begitu ketara sekali.


Gawang pasukan negeri Sabah ditembusi seawal minit ke-7, walaupun QPR kelihatan tidak bersungguh-sungguh hendak membolosi pintu gol pasukan Sabah. QPR kelihatan bermain sambil lewa untuk cuba mengimbangi gaya permainan pasukan Sabah.


Sepanjang 90 minit masa permainan, kedengaran di kiri-kanan penonton membuat pernilaian mengenai mutu permainan pasukan Sabah. Antaranya, ramai yang berpendapat bahawa stamina pemain-pemain Sabah tidak cukup tinggi, malas kejar bola dan kemahiran mengawal bola yang lemah.


Timbul persoalan. Apakah usaha yang perlu dilakukan untuk menaikkan mutu permainan pasukan Sabah. Ramai berpendapat, pengaruh dan campur tangan politik dalam bola sepak Sabah harus dihapuskan. Spekulasi mengenai unsur pemilihan pemain sebab tekanan politik, kaitan keluarga dan sebagainya antara persoalan yang sering timbul. 


Sudah kehabisankah Sabah pemain yang betul-betul boleh bermain? Rasanya pemilihan pemain yang betul-betul serius di seluruh negeri untuk mencungkil bakat belum dibuat secara maksimum. 


Jika ini tidak ditangani dengan serius, sudah tentu Stadium Likas sentiasa kosong penonton setiap kali pasukan Sabah bermain. Ini jika terus berlaku tidak akan meningkatkan bola sepak di Sabah
Load disqus comments

1 ulasan: