Mencabar Diri Mendaki Bukit Tirig (Tirig Hill) Di Kampung Lapasan Telipok

Jika anda tinggal di area berdekatan dengan bandaraya Kota Kinabalu, Sabah dan suka dengan aktiviti outdoor seperti hiking, mendaki bukit adalah salah satu aktiviti yang boleh anda lakukan. Hujung minggu lepas saya berkesempatan mencabar diri mendaki Bukit Tirig (Tirig Hill) yang terletak di Kampung Lapasan, Telipok.

Untuk mendaki Bukit Tirig anda perlu ke Kampung Lapasan, Telipok berdekatan juga dengan pusat pembuangan sambah dan letak kereta anda di kawasan berdekatan dengan Gereja Katolik St. Flora. Dari situ anda boleh berjalan melalui berberapa buah rumah sebelum sampai ke starting point laluan mendaki ke puncak Bukit Tirig.

Gambar di bawah adalah laluan permulaan (starting point) ke puncak Bukit Tirig.
Laluan mendaki Bukit Tirig di Kampung Lapasan ini sebenarnya dibuat oleh penduduk kampung untuk laluan upacara Jalan Salib mereka. Laluan ini kemudiannya atas permintaan orang ramai dibuat sehingga ke puncak untuk orang ramai mendakit bukit tersebut dengan selamat dan menikmati keindahan kawasan sekitar dari puncak Bukit Tirig.

Perjalanan untuk sampai kepuncak mengambil masa 15 hingga 20 minit bergantung kepada ketahanan fizikal dan stamina pendaki.

Saya sering melihat pelajar-pelajar sekolah berlari naik dan mereka mungkin hanya mengambil masa sekitar 5 minit untuk sampak ke puncak. 
Laluan ini sering dibersihkan dan diselengara oleh penduduk Kampung Lapasan untuk keselamatan pendaki dan untuk upacara Jalan Salib. 
Laluan ini tidaklah begitu curam atau mencabar. Ianya sesuai untuk pelajar dan kanak-kanak juga. Saya pernah melihat kanak-kanak berumur lingkungan 3 tahun juga turut mendaki Bukit Tirig ditemani ibubapa. 
Menjelang sampai ke puncak Bukit Tirig, anda boleh melihat bendera Persekutuan Malaysia dan Bendera Negara Sabah berkibar dengan megah menghilangkan kepenatan anda mendaki dan menimbulkan keinginan untuk segera sampai ke puncak. 
Jika anda melihat tayar besar tergantung dengan tulisan 'TIRIG HILL' di puncak, itu bermakna anda sudah sampai ke puncak Bukit Tirig. Suasana udara dipuncak ini agak nyaman dan sejuk. 

Di pertengahan laluan mendaki anda akan melalui kawasan yang agak redup kerana dilitupi pokok-pokok besar.

Tempat berehat dan duduk santai ada disediakan di berberapa tempat di sepanjang laluan tersebut untuk kemudahan pendaki berehat melepaskan penat.
Kawasan puncak bukit ini amat bersih dan luas. Tempat ini sering dibersihkan oleh peniaga-peniaga minuman ringan di puncak bukit ini. Jika anda tidak ada membawa air minuman, anda tidak perlu risau kerana minuman ada dijual dipuncak ini pada sebelah petang. 
Jika anda gemar aktiviti lasak, mendaki Bukit Tirig adalah salah satu aktivi luar (outdoor activity) yang boleh anda buat. Kawasan ini memang selamat dan penduduk Kampung Lapasan sentiasa memantau keselamatan dan laluan ini sepanjang masa. 

Pemandangan dari atas puncak Bukit Tirig memang cantik dan udaranya juga amat nyaman. Kepenatan anda mendaki akan berbaloi dengan pemandangan yang indah. Anda boleh mengambil gambar matahari terbit atau terbenam dari puncak bukit ini.

Untuk pendakian bukit di sekitar Kota Kinabalu yang seterusnya, saya bercadang hendak mencabar diri pula mendaki Bukit Gundul (Gondol) sebuah bukit yang agak tinggi juga terletak bersebelahan dengan UiTM di Sepanggar.
Load disqus comments

0 ulasan