Adakah Pinjaman Pendidikan Ditawarkan Di Bank Islam?

Adakah pinjaman pendidikan ditawarkan di Bank Islam? Kami banyak mendapat soalan mengenai perkara ini dan rasanya menulis satu post mengenai topik ini dapat menjawap persoalan ini. Sebelum kita menjawap persoalan ini ada baiknya kita melihat dahulu sedikit sebanyak mengenai latar belakang Bank Islam dan kemudahan-kemudahan yang ada disediakan di bank tersebut.

Pinjaman Pendidikan Bank Islam untuk pelajar?

Sedikit maklumant mengenai Bank Islam

Bank Islam yang pertama di Malaysia telah ditubuhkan pada 1 Mac 1983, iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan ianya tertakluk di bawah Akta Bank Islam 1983. BIMB mula beroperasi pada 1 Julai 1983 dengan modal yang dibenarkan sebanyak RM500 juta dan modal berbayar sebanyak RM79.9 juta. 

Pada masa tersebut, BIMB hanya mempunyai satu cawangan iaitu di Kuala Lumpur. Seterusnya, BIMB telah disenaraikan di papan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada 17 Januari 1992, dengan modal dibenarkan sebanyak RM500 juta dan modal berbayar sebanyak RM79.9 juta. BIMB juga merupakan anak syarikat kepada BIMB Holdings Berhad (BHB) yang merupakan syarikat pegangan pelaburan yang menjalankan operasi kewangan berpandukan prinsip-prinsip Syariah. 

BHB ini telah diperbadankan di Malaysia pada 20 Mac 1997 dan telah disenaraikan di papan utama BSKL pada 16 September 1997. Modal dibenarkan BHB ialah RM2 billion dan modal berbayarnya pula adalah RM562,965,000.00. 

Aktiviti BIMB juga turut bertambah selari dengan perkembangan sektor kewangan Islam meliputi aktiviti asas iaitu perbankan dan produk-produk perbankan di samping aktiviti lain seperti insurans, pelaburan saham, sewa beli, penyelidikan dan latihan serta lain-lain perkhidmatan perbankan Islam. 

BIMB juga telah berkembang dan menjadi sebuah institusi kewangan yang disegani dengan mempunyai rangkaian 85 cawangan di merata tempat di Malaysia. BIMB juga telah menyediakan lebih kurang 50 jenis produk dan perkhidmatan yang inovatif dan kompetitif di dalam pasaran setanding dengan produk dan perkhidmatan di bank-bank konvensional. 

Produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BIMB melibatkan dua kumpulan pelanggan yang utama iaitu penyimpan dan pelabur. Bentuk-bentuk perniagaan yang dijalankan atau lebih tepat lagi rangkaian produk dan perkhidmatan yang ditawarkan terdiri dari lima kategori yang utama iaitu perbankan elektronik, perkhidmatan deposit, pembiayaan pengguna atau runcit, pembiayaan perdagangan dan perkhidmatan lain. 

Produk dan perkhidmatan perbankan elektronik termasuklah perbankan internet, kad smart, rangkaian MEPS dan GIRO dan perbankan desktop. Seterusnya perkhidmatan dan produk deposit meliputi semua akaun simpanan dan akaun semasa termasuklah akaun pelaburan simpanan mudharabah dan sijil hutang. 

Pembiayaan pengguna pula merujuk kepada pembiayaan untuk individu seperti rumah, kereta, pendidikan, overdraf dan sebagainya. Manakala pembiayaan perdagangan adalah pembiayaan modal pusingan, bil penerimaan Islam (Islamic Accepted Bill- lAB), skim pembiayaan semula kredit eksport (Islamic Export Credit Refinancing Scheme - IECR), surat kredit dan surat jaminan. 

Perkhidmatan-perkhidmatan lain yang ditawarkan adalah kiriman wang, jual beli cek kembara, pengurusan pelaburan dan portfolio, jual beli mata wang asing, pembayaran zakat dan jualan amanah saham bank Islam. Setelah lebih 20 tahun beroperasi, BIMB kini menuju era baru untuk menjadi sebuah institusi kewangan yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan kewangan seluruh rakyat Malaysia. 

Daripada rangkaian 50 jenis produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BIMB sebagaimana yang telah diterangkan, kad KBI merupakan produk terkini yang berada dalam pasaran. Namun begitu, setakat ini pihak Bank Islam masih belum menawarkan sebarang pinjaman pendidikan buat pelajar di luar sana. 

Pembiayaan pendidikan dari bank lain 

Ketiadaan skim pinjaman pendidikan dari BIMB ini bukanlah penamat kepada usaha anda melanjutkan pengajian anda. Ini kerana bank-bank lain ada juga menyediakan skim pembiayaan pendidikan berbentuk pinjaman mahupun biasiswa.

Pembiayaan pendidikan Maybank Berhad

Pihak Maybank Berhad bank yang ada menawarkan pembiayaan pendidikan dalam bentuk pinjaman dan juga biasiswa. Pihak Maybank telah mengorak langkah dengan memperkenalkan Skim Prihatin Pendidikan 1 Malaysia (SPP1M). 

Skim ini adalah skim pembiayaan pendidikan tambahan kepada dana atau pembiayaan sedia ada untuk pelajar-pelajar yang sedang mengikuti pengajian di institusi-institusi dalam negara. Skim yang telah dilancarkan oleh YAB Dato' Sri Najib Tun Haji Abdul Razak ini akan membantu pelajar IPT dalam bidang yang tertentu seperti Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Kewangan, Perbankan, Insurans, Perakaunan, Percukaian), Undang-undang termasuk undang-undang Syariah, Kejuruteraan, Sains dan Sains Kesihatan, Sains Komputer, Senibina juga bagi mereka yang berminat melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang perubatan klinikal, pergigian, dan farmasi. 

Skim ini telah dikelola sepenuhnya oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera. Antara syarat kelayakan yang telah ditetapkan adalah pemohon mestilah terdiri daripada warganegara Malaysia, mengambil kursus yang diiktiraf serta diakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), serta pemohon mestilah menuntut di Institusi Pengajian Tinggi yang berdaftar.

Pinjaman Pendidikan Bank Rakyat

Di samping itu antara bank lain yang turut terkehadapan dalam konteks pinjaman pendidikan adalah Bank Rakyat. Bank Rakyat yang terkenal dengan Yayasan Bank Rakyat turut menawarkan pinjaman pendidikan kepada para penunut IPTA dan IPTS. Antara bidang pengajian yang diutamakan adalah Perakaunan, Perbankan, Pengurusan Perniagaan, Sumber Manusia, Ekonomi, Komunikasi Media, Undang – Undang, dan Sains Aktuari. Akan tetapi Yayasan Bank Rakyat  tetap menaja semua bidang lain kecuali Perubatan dan Penerbangan (Lesen). Bagi peringkat luar negara, jumlah tajaan yang akan diberikan merangkumi yuran pengajian dan kos sara diri.

Pembiayaan Pendidikan CIMB Bank

Selain pembiayaan pendidikan dari Maybank dan Bank Rakyat, CIMB Bank juga ada menyediakan skim pembiayaan pendidikan berbentuk tajaan pendidikan untuk pelajar-pelajar yang layak dan berminat. Biasiswa CIMB Bank adalah antara biasiswa yang popular dalam kalangan pelajar. Anda boleh berhubung terus dengan bank-bank yang disebut di atas untuk maklumat lanjut mengenai skim pembiayaan pendidikan yang ditawarkan oleh pihak mereka. 

Konklusinya, pihak Bank Islam dicadangkan untuk mengadakan skim pinjaman pendidikan bagi pelajar IPTA dan IPTS di Malaysia memandangkan permintaan yang tinggi dalam kalangan warga IPT. Diharapkan pihak Bank Islam Malaysia Berhad mempertimbangkan cadangan ini agar dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi bersama dengan institusi-institusi bank yang lain di Malaysia.
Load disqus comments

0 ulasan