Permohonan Pinjaman Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) Yayasan Bank Rakyat

Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) bermaksud pembiayaan yang mana jumlah bayaran balik tajaan yang diterima boleh diubah mengikut syarat-syarat yang ditetapkan dan tertakluk kepada budi bicara Yayasan Bank Rakyat. Antara bank  yang turut terkehadapan dalam konteks pinjaman pendidikan adalah Bank Rakyat

Bank Rakyat yang terkenal dengan Yayasan Bank Rakyat turut menawarkan pinjaman pendidikan kepada para penunut IPTA dan IPTS. Antara bidang pengajian yang diutamakan adalah Perakaunan, Perbankan, Pengurusan Perniagaan, Sumber Manusia, Ekonomi, Komunikasi Media, Undang – Undang, dan Sains Aktuari. Akan tetapi Yayasan Bank Rakyat  tetap menaja semua bidang lain kecuali Perubatan dan Penerbangan (Lesen). 

Bagi peringkat luar negara, jumlah tajaan yang akan diberikan merangkumi yuran pengajian dan kos sara diri. 

Di samping itu, Yayasan Bank Rakyat juga turut memperkenalkan Pinjaman Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) bagi pelajar yang menuntut secara sepenuh masa. Antara syarat yang ditetapkan bagi pemohon adalah pemohon mestilah terdiri daripada warganegara Malaysia yang telah mendapat tawaran untuk mengikuti pengajian serta memenuhi syarat kelayakan akademik yang ditetapkan. 

Seterusnya berumur tidak kurang dari 18 tahun semasa membuat Pembiayaan PPBU dan tidak melebihi  30 tahun semasa tamat pengajian (Permohonan Sijil Kemahiran, Diploma, Diploma Vokasional, Ijazah Sarjana Muda dan Professional). 

Manakala bagi pemohon peringkat Sarjana dan Ijazah Kedoktoran (PhD) pula, pemohon dikehendaki menamatkan pengajian sebelum berumur 45 tahun. Pemohon hendaklah mengikuti pengajian dalam sepenuh masa. 

Bagi pemohon yang berstatus pelajar separuh masa tidak layak memohon pinjaman ini. Selain itu, Yayasan Bank Rakyat juga turut menawarkan Pinjaman Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) atau biasiswa untuk pelajar yang melanjutkan pelajaran ke Luar Negara melibatkan kursus yang berkaitan dengan perbankan.

Syarat kelayakan PPBU

Antara syarat kelayakan akademik yang diperlukan untuk memohon bagi peringkat Ijazah Kedoktoran (Ph.D) adalah sekurang-kurangnya berkelulusan Ijazah Sarjana dengan CGPA 3.00 ke atas atau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dengan CGPA 3.75 ke atas atau kelulusan yang setara dengannya. 

Bagi Peringkat Ijazah Sarjana, pemohon mestilah sekurang-kurangnya berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dengan CGPA 3.00 ke atas manakala bagi Peringkat Ijazah Sarjana Muda pula antara pemohon disyaratkan sekurang-kurangnya berkelulusan Diploma dengan CGPA 3.0 ke atas atau Matrikulasi dengan CGPA 3.0 ke atas atau Sijil  Tinggi Pelajaran (STPM) dengan sekurang-kurangnya CGPA 3.0 atau Sijil Tinggi Agama (STAM) dengan sekurang-kurangnya mendapat kelulusan Jayyid Jiddan atau Mumtaz dengan kelulusan yang setara dengan STPM.

Seterusnya bagi peringkat Diploma, pemohon mestilah sekurang-kurangnya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan sekurang-kurangnya mendapat 5A dan 4B (tiada gred C dan ke atas) manakala bagi peringkat Diploma Kemahiran pula pemohon disyaratkan sekurang-kurangnya berkelulusan sedang atau telah mengikuti kursus tahap 2 bagi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau Lulus SPM bagi pemohon Sijil Kemahiran yang lain. Bagi peringkat Sijil Kemahiran, pemohon perlu berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat lulus dalam mata pelajaran Bahasa Melayu serta dua (2) kredit di dalam mana-mana mata pelajaran yang lain.  

Yayasan Bank Rakyat akan  menaja Pinjaman Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) atau biasiswa bagi peringkat Ijazah Kedoktoran (Ph.D), Ijazah Sarjana (Master), Ijazah Sarjana Muda dan Diploma dalam semua bidang pengajian (diiktiraf oleh MQA) dan Diploma Kemahiran Sijil Kemahiran Malaysia(SKM) yang diiktiraf oleh Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) atau Sijil Kemahiran lain yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK)/MQA/badan Kerajaan yang berkenaan.  

Cara memohon

Bermula pada  tahun 2010, semua permohonan hendaklah dibuat secara 'on-line' sahaja dengan melayari laman web Yayasan Bank Rakyat di http://www.yayasanbankrakyat.com.my. Tiada sebarang pindaan boleh dilakukan sebaik sahaja permohonan dihantar. Setiap permohonan perlu diisi dengan maklumat yang betul dan tepat. 

Permohonan akan ditolak sekiranya maklumat yang diberikan tidak tepat. Bagi mengetahui sama ada Pinjaman Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) atau biasiswa telah berjaya atau tidak berjaya, semakan boleh dibuat melalui laman web YBR, emel pemohon dan melalui SMS yang akan dihantar oleh pihak YBR.

Jumlah tajaan atau pembiayaan

Jumlah tajaan bagi Pinjaman Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) atau Biasiswa adalah bergantung kepada peringkat pengajian. Bagi  peringkat Ijazah Kedoktoran jumlahnya adalah sebanyak RM18,600 setahun. Bagi peringkat Ijazah Sarjana pula maksimum RM12,000 setahun. Seterusnya bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda telah ditetapkan maksimum RM9,500 setahun (UITM hanya RM6,500). Bagi peringkat Diploma, maksimum RM7,500 setahun (UITM & Politeknik hanya RM5,000). Bagi Diploma Kemahiran jumlah yang ditawarkan adalah sebanyak RM30,000 bagi tempoh 2 tahun manakala bagi peringkat Sijil Kemahiran, jumlah yang ditawarkan adalah sebanyakRM4,920 bagi setiap satu tahap dan peruntukan merangkumi yuran dan saraan diri.

Tempoh permohonan

Permohonan PPBU bagi sesi 2017/2018 akan dibuka mengikut 2 peringkat. Peringkat pertama dibuka pada Mei 2017 sehingga Julai 2017 adalah bagi permohonan peringkat Diploma, Diploma Kemahiran dan Sijil Kemahiran manakala peringkat kedua dibuka pada Julai 2017 sehingga September 2017 adalah bagi permohonan peringkat Ijazah Sarjana Muda, Professional, Sarjana dan Ijazah Kedoktoran.

Akhir sekali sekiranya tidak terpilih untuk disenarai pendek dalam pemilihan calon Pinjaman Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) atau Biasiswa, sebarang rayuan tidak akan dipertimbangkan. Sila cuba lagi memohon pada tempoh Pembiayaan PPBU tahun berikutnya. Pembiayaan PPBU boleh dilakukan apabila tempoh tajaan sesuatu peringkat dibuka. Pemohon diingatkan untuk mendaftar Akaun Portal YBR terlebih dahulu sebelum melakukan permohonan.
Load disqus comments

0 ulasan